Isnin, 8 Ogos 2011

Ikhtilat... Sedarkah Kita?


Diedit dan dikumpul oleh: Ummu Salamah Nur Farhamizah




IKHTILAT IKHWAH DAN AKHAWAT

Persoalan mungkin, ikhtilat IKHWAH dan AKHAWAT, Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin-muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat (percampuran lelaki-perempuan) yang bukan mahramnya.

Perlanggaran batas-batas pergaulan muslimin-muslimat masih terjadi dan hal ini mungkin disebabkan kerana :

1. Belum mengetahui batas-batas pergaulan.
2. Sudah mengetahui, namun belum memahami.
3. Sudah mengetahui namun tidak mahu mengamalkan.
4. Sudah mengetahui dan memahami, namun tergelincir kerana lalai.
Kita mungkin sibuk menghiasi penampilan luar kita dengan menyimpan janggut, berkopiah ataupun dengan tudung labuh warna-warni. Kita sibuk berhiaskan simbol-simbol front Islam namun lupa substances Islam. Kita bersungguh belajar ilmu Islam namun tidak fokus pada pemahaman dan amal.

Aktivis sekular tidak lagi segan dengan kita!!! Seorang ustaz bercerita bahawa ada aktivis sekular yang berkata kepadanya,
“ Ustaz, dulu saya respect pada Islamic student, pakai tudung labuh, berkopiah kerana pandai menjaga pergaulan muslimin-muslimat, namun kini mereka sama saja dengan kami. Kami jadi tak segan lagi.”

Ungkapan aktivis sekular di atas memalukan kita selaku jundi-jundi yang ingin memperjuangkan agama-Nya. Menjaga pergaulan lelaki-perempuan memang bukanlah hal yang mudah kerana fitrah lelaki adalah mencintai wanita dan demikian pula sebaliknya. Hanya dengan keimanan yang kukuh dan mujahadah sajalah yang membuat seseorang dapat istiqomah menjaga batas-batas ini.





PELANGGARAN BATAS-BATAS PERGAULAN IKHWAH DAN AKHAWAT MASA KINI



1. Tidak Menundukkan Pandangan (Gadhul Bashar)
Bukankah ada pepatah yang mengatakan, “ Dari mana datangnya cinta ? Dari mata turun ke hati”. Maka jangan kita ikuti seruan yang mengatakan, “Ah, tidak perlu gadhul bashar, yang penting kena jaga hati!” Namun, bukanlah menunduk pandangan sehingga terlanggar tiang tapi cukup sekadar kita memastikan pandangan kita terjaga daripada melihat sesuatu yang tidak syarie. Lelaki memandang wanita dengan penuh nafsu dan tidak alah juga wanita yang berkelakuan demikian walau tampil “warak berbungkus”.

2. Couple

Duduk berdua di taman-taman, tepi-tepi malah ada yang lebih licik dengan menggunakan platform rasmi yang bernama ‘meeting’ ditempat2 yang mencurigakan. Walaupun kebanyakan masyarakat pelajar Azhar mahupun masyarakat arab tidak mempedulikan sebegini kerana menganggap ustaz-ustazah yang berduaan ini sedang berdiskusi tentang Islam dan tugas, namun apapun alasannya, maka menutup pintu fitnah ini adalah langkah terbaik dan wajib bagi kita.


3. “Chop awal2” Untuk berkahwin
“Bagaimana, ustazah? Tapi tiga tahun lagi baru kita kahwin. Ana takut enti diambil orang.” Akhawat belum tamat belajar sehingga ‘dichop’ seorang ikhwah untuk menikah kerana takut kehilangan, padahal belum pasti hasrat itu akan tercapai. Hal ini sangatlah berisiko dan boleh mendatangkan permusuhan dan perpecahan bukan setakat semasa belajar, malah akan berlanjutan ke tanah air. Bukankah Nabi sallahu Alihi Wasallam sendiri melarang kita daripada ‘chop awal’ atau bertunang terlalu lama. Dengan kata mudah ‘kalau rasa diri sudah berpunya dan serius dalam hubungan, eloklah dipercepatkan urusan akad antara keduanya takut-takut terjerumus kekancah maksiat. Justeru, mana mungkin hubungan suci suami isteri akan terbina kekal di atas timbunan sampah kemaksiatan.’


4. Telefon Tidak ‘Urgent’
Menelefon dan berborak tidak tentu arah yang tidak ada nilainya sama ada soal pengajian mahupun atau soal tugas berpersatuan. Kalau setakat bertanya khabar, bercakap soal hati dan perasaan atau apa sahaja yang bersifat tidak syarie tanpa batas, ana gusar apa akan kita jawab dihadapan Allah nanti. Apa yang lebih malang, kita selaku daei, ulamak dan harapan masyarakat di luar sana sebagai benteng terakhir umat Islam yang membawa mandat besar selaku agen pengubah masyarakat, harus menunjukkan teladan dan nama yang baik dengan mengenepikan sebarang salah laku


5. SMS Tidak ‘Urgent’
Saling berchatting via SMS mengenai hal-hal yang tak ada kaitannya dengan da’wah, sampai tak sedar kredit dah habis. Sudah tiba masanya kita matang dan bermuhasabah dengan kehadiran teknologi yang sudah sekian lama kita nikmati. SMS tidak sepatutnya dijadikan medan melempiaskan nafsu serakah dengan berabang-sayang tapi sepatutnya dimanfaatkan untuk tujuan yang lebih murni dan berfaedah untuk menempah tiket ke syurga Allah Subhanahu Wataala.


6. Berbicara Mendayu-Dayu
Bercakap sambil tertawa kecil dan terdengar sedikit manja. Bukankah Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang perempuan daripada bercakap dengan suara yang mendayu-dayu dan dibuat-buat untuk menarik perhatian lelaki. Jadilah wanita yang bermaruah dengan sedikit bertegas bila bercakap dengan lelaki yang bukan mahram. Si lelaki pula. Jadilah mukmin yang ‘gentleman’ dengan menghormati perempuan mukminat. Hormat dalam erti kata menjaga dan memelihara maruah kaum hawa yang bakal menjadi tempat letaknya zuriat kita, penerus generasi beragama masa depan.


7. Yahoo Messenger/Chatting Yang Tidak ‘Urgent’
YM adalah termasuk satu kemudahan. Tidaklah berdosa bila ingin menyampaikan hal2 penting di sini. Namun menjadi bermasalah bila topik perbicaraan melebar entah kemana dan tidak fokus pada da’wah kerana khalwat secara maya mudah untuk berlaku.




Ikhtilat Ikhwah dan Akhawat..


Berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan, jelaslah kepada kita bahawa pergaulan atau ‘ikhtilat’ di antara lelaki dan wanita tanpa sebab-sebab munasabah yang dibenarkan adalah dilarang sama sekali dan membawa kepada dosa.


Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan hariannya dengan kaum Adam. Ini kerana ‘ikhtilat’ yang melanggar batas2 syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di dalam kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.


Jadilah lelaki yamg mampu membela dan memimpin kaum hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama2 memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.


Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, Ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama?. Jangan sampai suatu masa anak cucu kita mentertawakan dan menghukum kita lantaran salah laku yang kita adakan hari ini. Wallahualam.



TIPS BERURUSAN DENGAN BUKAN MAHRAM – SAY NO TO IKHTILAT..

1. Elakkan berhubungan dengan bukan mahram. Kalau ada peluang untuk minta bantuan dari nisa' (bagi nisa') dan rijal (bagi rijal), mintalah tolong mereka. Lainlah benda-benda di luar kudrat kita contohnya apabila nisa' minta bantuan rijal soal baiki latop, kereta dan perkara-perkara yang tak mampu dilakukan nisa'. Silalah mempergunakan kemahiran dan kepakaran yang ada. Begitu jugalah sebaliknya bagi rijal.

2. Andai terpaksa berhubung dengan bukan mahram gunakanlah perantaraan berbentuk tulisan seperti sms, nota kecil dan sebagainya. Ringkaskan dan padatkan ayat-ayat. Tak perlulah meletakkan ikon senyum yang sememangnya comel. Tak perlu disertakan dengan gelak ketawa seperti huhu, haha, hihi, hikhik. Seolah –olah kanak-kanak tadika mengajar mengeja. Apatah lagi benda-benda lain yang kurang berfaedah. Andai terdesak sangat untuk bercakap melalui telefon, jagalah suara anda terutama nisa' selari dengan tuntutan Al-Quran:
"Wahai isteri2 nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu org yang ada penyakit dlm hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yg baik."
Takkanlah nak tunggu Allah menempelak kita dengan balaNya?

3.Tundukkan hati. Sepatutnya apabila kita berurusan dengan bukan mahram kita perlu risaukan kemurkaanNya. Banyak-banyaklah berdoa semoga urusan dipermudahkan dan bebas daripada fitnah. Minta dariNya supaya dipelihara daripada panahan syaitan.

4.Tundukan pandangan. Jangan tertipu dgn matapelajaran kaedah berkomunikasi yang kita belajar "make eye contact with the person you're talking to". Melainkan dengan kaum sejenis. Teramatlah disarankan demi membina ukhwah yang kukuh. Berwaspada dengan konsep "dari mata turun ke hati". Tak bermakna tundukan pandangan sehingga jalan terlanggar tiang.

5.Mempercepatkan urusan. Apabila ada urusan, segerakanlah kerja. Tak perlulah sampai hendak berkongsi hal peribadi, luahan hati, gelak ketawa dan sebagainya yang tidak penting. Berbincanglah di tempat yang sesuai dan segerakan urusan. Jangan lupa peneman anda.



IKHTILAT DENGAN CARA YANG BETUL

Pada dasarnya, tidak terdapat sebarang hukum bagi pergaulan yang jelas. Meskipun terdapat beberapa pendapat yang mengatakan ianya tidak haram malah harus, namun berdasarkan dalil-dalil yang bakal dikemukakan, adalah jelas bahawa hukumnya adalah tetap haram. Ini juga kerana pandangan ini disokong oleh majoriti ulama fuqaha, dan ahli hadith.

Dalil-Dalil
Pengharaman pergaulan antara lelaki dan perempuan meskipun tidak terdapat satu nas yang qatie (jelas), namun pengharamannya hanya berasaskan kepada hukum lain yang pada asalnya dikhususkan bagi kaum wanita kerana dalam hukum-hukum tersebut terdapat unsur-unsur pergaulan antara perempuan dan lelaki ajnabi. Oleh itu, nas-nas tersebut boleh dijadikan sebagai petunjuk pengharaman pergaulan. Hukum-hukum yang dimaksudkan ialah larangan berkhalwat dan musafir tanpa mahram, solat berjemaah di masjid bagi wanita, hukum jihad bagi wanita-wanita, hukum solat Jumaat bagi wanita dan beberapa hukum-hakam yang dikhususkan untuk wanita.

Pemakaian Urf dan Maslahah dalam Penentuan Hukum Pergaulan.
Dalam konteks persoalan berkaitan pergaulan antara lelaki dan perempuan di Malaysia, meskipun hukum asalnya adalah haram seperti mana yang telah dihujahkan sebelum ini [rujuk perbincangan tentang hukum asal pergaulan], namun apabila dilihat dari sudut pendekatan pemakaian uruf masyarakat di Malaysia, ternyata beberapa kelonggaran tetap wujud seiring dengan prinsip iaitu mengambilkira suasana setempat dan semasa di Malaysia. Persoalan yang turut perlu dipertimbangkan contohnya:
Kaum wanita turut keluar mencari rezeki dengan bekerja, malahan wanita di Malaysia kini hampir seimbang dominasi peratusan mereka yang bekerja dengan lelaki
Persoalan tentang pergaulan antara lelaki dan perempuan semasa belajar. Di universiti, keadaan sama berlaku.


Pengecualian Bagi Hukum Asal

1. Unsur Darurat

Pergaulan perempuan dan lelaki ajnabi yang dikategorikan sebagai darurat atas tujuan memberikan perlindungan atau menyelamatkan perempuan itu daripada bahaya adalah diharuskan dengan syarat tidak ada tujuan-tujuan lain. Hukum ini adalah satu pengecualian dari hukumnya yang asal iaitu haram. 

2.
Apabila Wujud Keperluan atau Hajat


Muamalat Maliyyah (urusan harta)
Perempuan dibenarkan bergaul dengan lelaki dalam urusan yang melibatkan harta seperti jual beli atau lain-lain transaksi. Ini adalah kerana urusan sebegini memerlukan interaksi antara dua pihak sebelum berlaku aqad.
Penyaksian (urusan mahkamah)
Penyaksian wanita diterima syara.Di dalam kes-kes tertentu seperti dalam kes harta dan berkaitan.
Urusan kerja
Wanita diharuskan keluar rumah untuk bekerja dengan izin suami atau penjaganya. Urusan kerja kebiasaannya melibatkan pergaulan wanita dengan lelaki. Tambahan pula bilangan tempat kerja yang mengasingkan antara lelaki dan perempuan secara total amat terhad.
Melayani tetamu
Harus bagi seorang wanita melayani tetamunya dengan syarat ia mestilah ditemani oleh suami atau mahramnya. Ini kerana, kewujudan suami atau mahramnya untuk mengelakkan berlakunya 'khalwah' (bersunyi-sunyian) antara seseorang wanita dan tetamunya. Begitu juga, harus bagi seseorang wanita untuk makan bersama tetamunya dengan kehadiran suami atau mahramnya bagi menjaga hak-hak tetamu.
Keperluan lain yang tidak bertentangan dengan syariat
Oleh itu pergaulan yang berlaku contohnya dalam kenderaan awam dibolehkan atas alasan ianya adalah keperluan yang mendesak. Namun demikian, keharusan ini tertakluk kepada syarat perempuan itu keluar rumah bukan untuk tujuan yang tidak syarie seperti untuk berpoya-poya. Ia mestilah bertujuan syarie seperti bekerja untuk menyara diri atau keluarga, menziarahi keluarga, pesakit dan sebagainya. Begitu juga keadaannya jika seseorang wanita perlu ke tempat-tempat awam seperti stesen bas, keretapi, pasaraya dan sebagainya.

3. Pergaulan menurut kebiasaan adat dalam majlis-majlis

Pergaulan antara lelaki dan perempuan di dalam majlis-majlis keramaian yang tidak bertentangan dengan syarak seperti kenduri kendara atau majlis-majlis keraian, ziarah keluarga atau jiran serta sahabat, melayan tetamu dan sebagainya dibolehkan.

4. Pergaulan semasa belajar

Umum mengetahui bahawa situasi keadaan di Malaysia di mana semua rakyatnya berhak untuk mendapatkan pendidikan. Walaubagaimanapun, mungkin timbul dalam usaha menuntut ilmu ini, persoalan tentang pergaulan yang mungkin wujud semasa proses pembelajaran tersebut. Sebagai pelajar sudah tentu akan wujud bentuk komunikasi antara rakan sekelas seperti bertanya soalan, study group dan tugasan secara berkumpulan dan sebagainya. Semua ini jelas menunjukkan betapa pergaulan tidak dapat dielakkan semasa proses pembelajaran.

Maka sewajarnya ke atas kaum Hawa menjaga batas-batas pergaulan harian mereka dengan kaum Adam. Ini kerana 'ikhtilat' yang melanggar batas-batas syariat akan menyebabkan fitnah serta kerosakan hati dan akhlak di kalangan masyarakat Islam. Seterusnya ia boleh menjatuhkan martabat wanita itu sendiri.

Nah, masuk akal jika kita katakan perempuan yang dilebihkan oleh Allah dalam soal menjaga maruah dan harga diri sepatutnya lebih peka dan sensitif dengan masalah ini. Namun ini tidak bermakna lelaki boleh berbuat sesuka hati. Selaku lelaki yang sifatnya dikuatkan oleh Allah dalam segala hal, sepatutnya tidak terjerlus ke lembah becak kemaksiatan.

Jadilah lelaki yang mampu membela dan memimpin kaum Hawa ke jalan yang membawa mereka ke syurga. Bukankah sekiranya kita sayangkan seseorang, sayang kita akan lebih bermakna jika kita sama-sama memperoleh syurga. Mana mungkin lafaz sayang dan kasih kita terpalit lumpur yang natijahnya adalah neraka.

Lupakan persoalan salah siapa antara kita tapi letakkan pertanyaan dalam benak sanubari kita, ikhtilat antara ikhwah dan akhawat, bagaimana dengan kita? Adakah kita terlibat sama?


BEZA ANTARA IKHTILAT DAN KHALWAT

1.
IKHTILAT

-
Seorang lelaki & seorang perempuan berada bersama di tempat terbuka.
Cth : Di pasar/bank/sekolah @ tempat awam semasa berurusan.
- 2 atau lebih lelaki dan perempuan berada bersama dan tidak berniat untuk berkhalwat walaupun berada di tempat tertutup atau sunyi
Cth : Bermesyuarat dlm bilik khusus,belajar di kelas/dewan kuliah.






2. KHALWAT


- Seorang lelaki dan perempuan berada bersama di tempat tertutup/sunyi.
Cth : Sudah sedia maklum dah...... Dlm bilik/hotel berdua2an.
- 2 atau lebih lelaki dan perempuan berada bersama dan berniat untuk melakukan khalwat ditempat tertutup/sunyi.
Cth : Sekumpulan lelaki & perempuan berpakat berkhalwat dalam dewan tertutup walaupun dalam jumlah yg ramai.


"Lalu apa yang telah aku lakukan selama ini... Ya Rabb... Tolong ampuni aku... Untuk setiap pandangan yang tak terjaga, lisan yang merayu dan hati yang tak terhijab... Ya Rabb... Engkau mengawasi kami tiap detik, karena kasih sayangMu kepada kami Engkau perintahkan malaikat silih berganti menemani kami siang dan malam..."
“ Elakkanlah berhubung tanpa urusan yang benar2 penting dengan wanita2 (berlawanan jantina) kerana di situlah letaknya jalan SYAITAN..”

Ayat Yang Menusuk Ke Jiwaku




Daripada surah Al-Ahzab.. Tah kenapa tadi bila bace je ayat ni boleh nangis.. Nak kata ayat ni memilukan, tak juga. Tapi saya rasa macam ALLAH saje je nak tuju ayat ni pada saya:

28. Hai nabi, Katakanlah kepada isteri-isterimu: "Jika kamu sekalian mengingini kehidupan dunia dan perhiasannya, Maka marilah supaya kuberikan kepadamu mut'ah dan Aku ceraikan kamu dengan cara yang baik.

29. Dan jika kamu sekalian menghendaki (keredhaan) Allah dan Rasulnya-Nya serta (kesenangan) di negeri akhirat, Maka Sesungguhnya Allah menyediakan bagi siapa yang berbuat baik diantaramu pahala yang besar.

30. Hai isteri-isteri nabi, siapa-siapa di antaramu yang mengerjakan perbuatan keji yang nyata, niscaya akan di lipat gandakan siksaan kepada mereka dua kali lipat. dan adalah yang demikian itu mudah bagi Allah.

31. Dan barang siapa diantara kamu sekalian (isteri-isteri Nabi) tetap taat kepada Allah dan rasul-Nya dan mengerjakan amal yang saleh, niscata kami memberikan kepadanya pahala dua kali lipat dan kami sediakan baginya rezki yang mulia.

32. Hai isteri-isteri nabi, kamu sekalian tidaklah seperti wanita yang lain, jika kamu bertakwa. Maka janganlah kamu tunduk dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit dalam hatinya dan ucapkanlah perkataan yang baik,

33. Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyah yang dahulu dan Dirikanlah shalat, tunaikanlah zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, Hai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.

34. Dan ingatlah apa yang dibacakan di rumahmu dari ayat-ayat Allah dan hikmah (sunnah nabimu). Sesungguhnya Allah adalah Maha Lembut lagi Maha Mengetahui.

35. Sesungguhnya laki-laki dan perempuan yang muslim, laki-laki dan perempuan yang mukmin, laki-laki dan perempuan yang tetap dalam ketaatannya, laki-laki dan perempuan yang benar, laki-laki dan perempuan yang sabar, laki-laki dan perempuan yang khusyuk, laki-laki dan perempuan yang bersedekah, laki-laki dan perempuan yang berpuasa, laki-laki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, laki-laki dan perempuan yang banyak menyebut (nama) Allah, Allah Telah menyediakan untuk mereka ampunan dan pahala yang besar.

36. Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata.

Ni la ayat2 yang menusuk ke dalam jiwa, sanubari ini hari ni.. HUHU... SEDIHNYA...!!!
Akhir2 ni dan sebelum2 ni pun saya banyak berbuat dosa, lalai dan alpa. Selalu terleka, kurang muhasabah, tak boleh mendisiplinkan diri dengan jadual2 yang dah disusun... kerja banyak bertangguh..

Rasa macam tah apa2.. Kadang2 rasa bersalah.. Kadang2 rasa sedih, tak tenang... Saya tahu, saya mungkin kurang beramal. Beramal dengan apa yang saya sendiri cakapkan..

Apa sahaja yang saya luahkan, yang saya tuturkan di mulut ni, semuanya ALLAH uji saya betul2.. Kadang2 sampai rasa takut juga nak bagi nasihat pada orang lain. Takut diri yang memperkatakan nasihat itu sendiri tak mampu melakukannya.. Apapun, saya akan usaha..

Bagi kawan2, silalah tegur diri ini.. Mungkin luar je saya nampak baik, tapi hakikat yang sebenarnya tiada yang mengetahuinya selain ALLAH je. Semalam saya ada bercakap dengan seseorang melalui telefon. Saya kata pada dia (sekadar meluahkan isi hati masa tu)

“Teringin gak kan nak letak gambar di facebook, YM.. Cuma nak letak gambar yang Kecik2 je. Yang orang takleh zoom tu.. Tapi tak berani pulak letak. Segan jgk nak pamerkan gambar kat internet..”

Kemudian, orang tu cakap,
“Better tak payah letak. Saya tak galakkan awak letak gambar di facebook. Wanita itu seharusnya sifatnya tidak mendedahkan sebaliknya sesuatu yang perlu ditutup. Tidak terdedah di sini bukanlah hanya tidak terdedah paras atau luarannya sahaja tapi juga sifatnya, tutur katanya dan lain2..”

Selepas habis cakap, kawan saya yang tengah buat kerja depan saya tu bertanya.

“Kenapa Farha?”

“Takde apa2.. Cuma ada orang pesan something kat aku.. Mengenai perempuan yang meletakkan gambar2nya di facebook..”

“Kenapa? Tak boleh ke? Apa ye hukum kita letak gambar2 kita kat facebook bg orang tengok?

“Pasal hukum tu aku tak berani la nak jawab... Aku bukan pandai sangat.. .Tapi aku nak tanya ang... WANITA NI APA??

Diri wanita , kita sendiri ni adalah perhiasan kan? Bila dikatakan perhiasan, sudah tentu ia adalah sesuatu yang ‘menarik’ dan cantik.. Tapi, wanita sebagai perhiasan yang sepatutnya ditutup dan dijaga. Bukan untuk sewenang-wenangnya ditayangkan di sana-sini..
Sebab tu la ALLAH suruh kita tutup aurat.. Supaya apa? Supaya kita lebih terpelihara

Terpelihara dari fitnah, terpelihara dari lelaki, dan lain2.. Jadi, jika kita tayang muka kita, body kita yang cantik tu dengan gambar2 yang menarik perhatian tu, maknanya kita masih tidak menutup dengan erti kata yang sebenarnya. Kita pakai tudung, tapi kita bertabarruj (menampakkan kecantikan diri pada bukan mahram).

Mestila gambar yang kita letak kat facebook tu adalah gambar yang cantik2 kan? Untuk apa? Tanya balik tujuan kita. Niat kita letak gambar tu.. Mungkin kita tak sedar, atau mungkin kita ingat biasa2 je sebab orang ramai buat camtu.. Tapi kita ada tak terfikir kesannya pada orang lain? Contohnya pada orang yang ‘admire’ pada seseorang prempuan tu. Tiap2 hari buka facebook, tengok gambar, komen sana, komen sini... Merapu2 perkara yang tak penting.. Tidakkah perkara ni akan mendatangkan dosa pada dia? Lelaki menatap wanita yang tidak halal baginya.. Kasihanilah lelaki... Mungkin kadang2 nafsu mereka terganggu akibat perbuatan seorang wanita..

Firman Allah:

30. Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih Suci bagi mereka, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang mereka perbuat".

31. Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya. dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya ..... (An-Nur, 30-31)

Hayatilah Ayat tersebut wahai rakan2ku... Aku mohon kepadamu dan juga diriku sendiri yang serba lemah ini.. TOLONG JAGA DIRI ANDA SEBAGAI WANITA KERANA SEORANG WANITA ITU AMAT BERHARGA.. Jagalah diri untuk suamimu.. Jangan biarkan lelaki lain merasai kecantikanmu sebelum tiba masanya KERANA KAU AMAT BERNILAI dan bukannya sesuatu yang murah dan boleh dapat dimana2 dan bila2 saja.

Jadi, GUNALAH FACEBOOK UNTUK KEBAIKAN ATAU PERKARA BERFAEDAH. Tidak salah berfacebook, share something dengan kawan2, erat silaturrahim, kongsi maklumat... TAPI JANGAN JADIKAN FACEBOOK TEMPAT BUAT DOSA.. (Dosa mengata orang, mengumpat, tak jaga pandangan, tabarruj, dan lain2..)

Jadilah Kekasih Yang Mendengar




Penulis Asal: Pahrol Mohd Juoi
Pengulang Cetak: Ummu Salamah Nur Farhamizah Askarali

Manusia memerlukan didengar kata-katanya sama seperti dia perlukan makanan. Tanpa makanan akan lemahlah jasad, sakitlah badan. Tanpa didengar akan tumpullah perasaan dan lumpuhlah emosi. Manusia yang membesar tanpa diberi hak didengar akan menjadi manusia yang kurang cerdas emosinya apabila dewasa kelak. Dia akan gagal mengurus perasaan marah, kecewa, takut dan dendamnya.
Orang yang begini, akan gagal dalam hidupnya. Peri pentingnya didengar dalam hidup seseorang itu hingga menyebabkan bijak pandai mengungkapkannya melalui kata-kata hikmah yang berbunyi: “Tugas cinta yang pertama ialah mendengar.” Ertinya, kekasih yang baik ialah kekasih yang mendengar. Mendengar rintihan, keluhan, aduan dan rayuan pasangannya. Justeru, dengan mendengar cinta akan lebih subur dan harum. Dengan mendengar ertinya kita memberi telinga, mata dan hati.
Orang yang mendengar sebenarnya adalah orang yang “memberi”… Bukankah cinta itu bererti memberi? Memberi kasih-sayang, perhatian dan perlindungan. Orang yang banyak mendengar akan banyak belajar dalam hidup ini. Orang yang banyak mendengar bukan sahaja banyak pengetahuan tetapi akan banyak kawan dalam masyarakat. Mungkin kerana itu Allah ciptakan kita dua telinga dan satu mulut sebagai simbolik, kurangkan berkata-kata tetapi banyakkan mendengar.

Malangnya, kebanyakan manusia lebih suka “memperdengarkan” daripada mendengar cakap orang lain. Lidah selalu menyebabkan telinga menjadi tuli. Dalam pergaulan, kita selalu sahaja ingin memonopoli perbualan. Kononnya dengan banyak bercakap kita akan terlihat pandai dan bijak berbanding orang yang diam. Kebanyakan kita menyangka orang yang diam itu bodoh. Tidak ada idea dan pendek wawasan. Sedangkan diam itulah terpuji dan bermanfaat. Kata bijak pandai: “Diam itu banyak hikmahnya tetapi sangat sedikit sekali orang mengambil manfaatnya.” 
Cuba lihat orang di sekeliling kita dan lihat kita sendiri. Apakah kita banyak mendengar daripada berkata-kata? Maaf, kerap kali kita ingin jadi jaguh dan wira yang tidak henti-henti berkokok di mana-mana. Bila bercakap kita seolah-olah serba tahu. Kita mengetuai perbualan, kita menjuarai percakapan. Mengapa? Ya, sering berlaku pangkat, harta, nama serta jawatan menyebabkan seseorang tidak sudi lagi menjadi pendengar.
Pangkat ku lebih tinggi, aku cakap kau dengar. Nama ku lebih tersohor, jangan cuba-cuba mencelah bila aku berbicara. Kau tak layak menasihati aku, ilmu ku lebih tinggi. Begitulah yang kerap kita lihat dalam kehidupan. Bukan orang lain tetapi diri kita sendiri! Apakah dengan mendengar kita menjadi hina, miskin dan tidak ternama? Jika itulah anggapan kita jelas kita sudah tersalah. Menjadi pendengar menjadikan kita orang yang tawaduk (rendah diri).
Orang yang tawaduk akan ditinggikan Allah. Orang yang mendengar akan lebih banyak belajar daripada orang yang asyik berkata-kata. Semakin banyak kita belajar semakin banyak ilmu yang kita peroleh. Dan bila semakin banyak ilmu yang kita miliki, maka semakin tinggilah darjat kita di sisi Allah dan manusia. Bukankah dalam Al Quran Allah telah menegaskan bahawa darjat ahli ilmu itu ditinggikan oleh-Nya berbanding orang yang tidak berilmu?
Justeru, Allah yang Maha Pencipta juga bersifat Maha Mendengar – “ sami’“. Dan salah satu nama Allah yang baik dan indah ialah as Sami’. Allah maha mendengar rintihan, aduan, kebimbangan, luahan rasa daripada hamba-hambanya pada setiap masa, tempat dan ketika. Allah adalah “kekasih” setia yang sentiasa mahu mendengar rintihan hamba-hamba-Nya. Jika kekasih di kalangan manusia akan jemu jika masalah yang sama diperdengarkan berulang-ulang kali sebaliknya Allah tidak sebegitu.
Allah bersedia mendengarnya bila-bila masa sahaja. Jika ada jutaan manusia mengadu dan merintih kepada Allah, Allah tetap mendengar semua rintihan itu dengan terang dan jelas. Sedangkan seorang kaunselor, ulama, khadi, hakim yang terbaik sekalipun tidak mampu mendengar dua, tiga masalah daripada klien yang berbeza pada suatu masa dalam keadaan serentak. Inilah kehebatan Allah sebagai As Sami’. Bukan sahaja Allah mahu mendengar bahkan mampu mendengar seluruh pengaduan hamba-Nya pada satu masa!
Allah mulia dan agung kerana kesudian dan kesediaan-Nya mendengar rintihan dan pengaduan manusia. Begitu juga jika ada manusia yang mahu mendengar rintihan dan pengaduan manusia lain… dia juga akan ditinggikan darjatnya. Allah sudi mendengar rintihan semua manusia tanpa mengira pangkat, derjat, harta dan rupa paras. Allah mendengar permintaan seorang raja, Allah juga mendengar rintihan seorang hamba. Allah Maha Adil…
Seorang pesakit, datang merintih kerana penyakitnya… Allah mendengar. Seorang menteri mengadu hal-hal negara… Allah mendengar. Seorang isteri mengadu hal rumah tangga… Allah mendengar. Apa pun dan dari sesiapapun Allah tetap mendengar. Pintalah hal sekecil-kecilnya dan pintalah hal yang sebesar-besarnya, Allah tetap sudi mendengarnya. Daripada rintihan seorang pengemis yang merayu untuk mendapatkan sesuap nasi, sehinggalah kepada munajat seorang soleh yang memohon syurga, Allah tetap sudi mendengar, justeru Allah itu bukan sahaja mendengar tetapi Dia Maha mendengar!
Sebaliknya, manusia terlalu ego dan bersikap berat sebelah termasuk dalam soal mendengar ini. Ya, jika orang yang bercakap tinggi pangkatnya, maka dia senyap terpaku membisu. Tetapi jika yang bersuara itu orang bawahan, maka dia mendengar sambil lewa atau cepat-cepat memotong cakap sebelum orang bawahannya itu dapat menghabiskan percakapannya.
Kalau si kaya menegur, semua menelinga dan tunduk akur. Tetapi bila si miskin yang mengadu, ramai yang berpaling dan menunjukkan reaksi selamba. Namun tidak begitu keadaannya pada insan bernama Muhammad saw. Baginda seorang yang sentiasa memberi hak mendengar kepada sahabat, isteri dan pengikut-pengikutnya. Walaupun, baginda “orang besar” yang memimpin negara, tetapi masih sempat mendengar rintihan anak kecil yang terbiar di tepi jalan di satu pagi Hari Raya.
Di dalam mesyuarat, baginda sering mendengar pendapat sahabat-sahabatnya. Kekadang baginda ada pandangan, tetapi dirasakannya ada pandangan lain yang lebih tepat… maka diambilnya pandangan yang lebih tepat itu!
Itulah Rasulullah saw yang paling berjaya meniru sifat As Sami’ Allah swt. Bagaimana dengan kita? Ah, malang, kekadang pangkat tidaklah setinggi mana… namun egonya sudah setinggi langit. Kononnya kitalah yang paling bijak dan mulia. Jika dalam satu majlis kita tidak dialu-alukan dengan kata-kata sambutan, maka kita rasa dipinggirkan. Jika dalam mesyuarat kita tidak dijemput bercakap, terasa orang menafikan keintelektualan, gelaran dan jawatan kita.
Anda tidak perlu banyak cakap untuk disenangi dan disayangi, cukup dengan menjadi pendengar. Lihat mata orang yang bercakap, buka telinga dan hati, dengarlah dengan penuh simpati dan empati… nescaya orang akan jatuh hati. Bila anak-anak menghampiri kita, pegang tangannya dan ucapkan, apa yang kamu ingin katakan? Ayah atau ibu sudi dan sedia mendengarnya. Jika pekerja bawahan menziarahi atau datang di muka pintu rumah atau bilik anda lalu memberi salam, jawab salamnya dan bawa dia dekat dan dengar luahan katanya. Dengarlah bisikan orang di sekeliling kita.
Insya-Allah, kita tidak akan terpaksa mendengar jeritan. Berapa banyak bisikan yang dibiarkan yang akhirnya bertukar menjadi jeritan yang memeritkan. Isteri ingin mengadu, suami menjauh. Anak hendak bercakap, ibu-bapa membentak menyuruh diam. Pekerja ingin berbincang, dituduh ingin mogok. Rakyat ingin memberitahu, kononnya pemimpin serba tahu… Terlalu banyak bisikan yang dipinggirkan dan disisihkan.
Akhirnya, bisikan menjadi jeritan. Anak derhaka, isteri nusyuz, diceraikan suami, pekerja lari, rakyat berpaling tadah… Semuanya gara-gara dan angkara sikap ingin mendengar yang semakin terhakis dalam kehidupan dan pergaulan. Pesanku untuk ku dan untuk mu… Jangan biarkan mulut menjadikan telinga kita menjadi tuli!

KECEWA Dalam Bercinta


Penulis: Pahrol Mohd Juoi

Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai. Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”


Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.”Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.

(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.

Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah, "Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.

Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”

Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.

Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.

Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…

Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!

Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).

Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!

Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.

Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.

Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’ atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.

Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women) Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi. Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.

Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.

Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.

Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we cannot direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.

Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!

Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.

Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living,“jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.

Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

Sematkan di hati kata pujangga ini: “Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”



Sumber: http://genta-rasa.com/2011/03/07/frust-dalam-bercinta/